Dimanakah Najed?
Betulkah ajaran "Wahabi" adalah daripada "Najd" sebagaimana hadis riwayat Imam Bukhari dan lain-lain yangmana disebutkan "Najd" adalah tempat berlakunya fitnah dan lahirnya dua tanduk syaitan?
Berikut adalah hadis tersebut:
اللهم بارك لنا في شامنا اللهم بارك لنا في يمننا، قالوا: يا رسول الله! وفي نجدنا ، قال: اللهم بارك لنا في شامنا اللهم بارك لنا في يمننا، قالوا: يا رسول الله! وفي نجدنا ، فأظنه قال في الثالثة: هناك الزلازل والفتن وبها يطلع قرن الشيطان.
Maksudnya: "Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! berkatilah negeri Yaman kami". Mereka (para Sahabat) berkata: "Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Najd kami ". Baginda (terus) berdoa: "Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Yaman kami". Mereka (para Sahabat) berkata: "Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Najd kami ". Aku (perawi hadith) agak pada (permintaan) yang ketiga Baginda bersabda: "Padanya (Najd) (berlaku) gempa bumi, fitnah dan tempat terbit tanduk syaitan" [Hadis riwayat Bukhari, dalam Sahih al-Bukhari, no: 6681]
Hadis ini menunjukkan negeri Najd tersebut adalah tempat keluarnya Tanduk syaitan serta berlakunya gempa bumi dan fitnah daripada tempat tersebut. Persoalannya, "Najd" yang disebutkan dalam hadis ini ialah Najd yang mana? Adakah Najd yang bertempat di Arab Saudi sebagaimana yang diwar-warkan oleh pendokong Asya'irah demi meyakinkan ajaran wahabi adalah ajaran yang membawa fitnah!!
Untuk mengetahui dengan lanjut makna/ maksud sebenar hadis ini adalah dengan melihat hadis lain yang menerangkan dengan lebih jelas akan maksud hadis tersebut. Hadisnya adalah seperti berikut:
أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: اللهم بارك لنا في مدينتنا وبارك لنا في مكتنا وبارك لنا في شامنا وبارك لنا في يمننا وبارك لنا في صاعنا ومدنا، فقال رجل: يا رسول الله! وفي عراقنا ، فأعرض عنه فقال: فيها الزلازل والفتن وبها يطلع قرن الشيطان.
Maksudnya: Bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam berdoa: "Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Madinah kami, berkatilah negeri Makkah kami, berkatilah negeri Syam kami, berkatilah negeri Yaman kami dan berkatilah (sukatan) gantang dan cupak kami". Tiba- tiba seorang lelaki mencelah: "Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Iraq kami . Lalu Baginda berpaling darinya seraya bersabda: "Padanya (berlaku) gempa bumi, fitnah dan tempat terbit tanduk syaitan" [Hadis riwayat Thabrani dalam Mu'jam al-Ausath (1 /246 & 1 /4256 ), Ibn 'Asakir dalam Tarikh Damsyik (1 /120 ), Abu 'Ali al-Qusyairy al- Harany dalam Tarikh al-Raqah (2 /20 /1-2 ), Abu Nu'aim dalam al- Haliyyah (6 /133 ), dan lain-lain; Rujuk Silsilah al-Sahihah, no: 2246]
Dalam hadis ini lebih jelas yang dimaksudkan dengan "Najd" pada hadis pertama adalah negeri Iraq. Kedua-dua hadis ini sanadnya melalui sahabat nabi iaitu Abdullah Ibn Umar Radhiallahu'anhuma. Hadis yang pertama (riwayat Bukhari) jalan sanad Nafi' daripada Ibn 'Umar Radhiallahu'anhuma, manakala hadis yang kedua (riwayat Ibn 'Asakir dan Abu Nu'aim) melalui jalan sanad Salim daripada Umar Radhiallahuanhuma. Menurut kaedah Ilmu Hadis kedua-dua Nafi' dan Salim menyokong antara satu sama lain secara mutaba'ah. Maka jelaslah kedua- dua riwayat di atas hakikatnya riwayatnya adalah sama dan menjadi penjelas antara satu sama lain. [Rujuk: Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar? Dr. Azwira Abdul Aziz, ms 135]
Ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadis lagi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, dimana Salim Ibn Abdullah Ibn Umar Radhiallahu'anhuma pernah berkata:
يا أهل العراق! ما أسألكم عن الصغيرة وأركبكم للكبيرة! سمعت أبي، عبدالله بن عمر يقول:
سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: إن الفتنة تجئ من ههنا وأومأ بيده نحو المشرق من حيث يطلع قرنا الشيطان...
Maksudnya: "Wahai penduduk Iraq! Alangkah banyaknya persoalan kamu tentang perkara kecil dan alangkah banyaknya pula dosa besar yang telah kamu lakukan, aku mendengar ayahku (yakni) ' Abd Allah Ibn ' Umar berkata, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya fitnah itu datang dari sebelah sini, lalu Baginda mengisyaratkan tangannya ke sebelah Timur, (arah) di mana terbitnya dua tanduk Syaitan..." [Hadis riwayat Muslim, dalam Sahih Muslim, no: 2905]
HURAIAN IBN HAJAR AL-'ASQALANI
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-' Asqalani rahimahullah memetik kata-kata Al-Khattabi rahimahullah :
نجد من جهة المشرق، ومن كان بالمدينة كان نجده بادية العراق ونواحيها وهي مشرق أهل المدينة، وأصل نجد ما ارتفع من الأرض وهو خلاف الغور فإنه ما انخفض منها، وتهامة كلها من الغور ومكة من تهامة.
Maksudnya: "Najd itu di sebelah timur, sesiapa yang berada di Madinah maka najdnya ialah pendalaman negeri Iraq dan persekitarannya yang menjadi arah timur (bagi) penduduk Madinah. Ini kerana asal (perkataan) najd (dari segi bahasa) ialah kawasan tanah tinggi yang menjadi lawan kepada ghaur yang bermaksud kawasan tanah rendah (lembah), sedangkan Tihamah keseluruhannya adalah lembah dan Makkah pula termasuk sebahagian dari Tihamah" [Lihat Fathul Bari, Syarah Sahih bukhari, 13 /47]
Kemudian, Al-Hafiz Ibn Hajar mengomentari kata-kata Al- Khattabi dengan katanya:
وعرف بهذا وهاء ما قاله الداودي إن نجدا من ناحية العراق فإنه توهم أن نجدا موضع مخصوص وليس كذلك بل كل شيء ارتفع بالنسبة إلى ما يليه يسمى المرتفع نجدا والمنخفض غورا.
Maksudnya: "Dan dengan ini dapat diketahui kelemahan pendapat Ad-Dawudi yang waham (menyangka) bahawa najd itu suatu tempat khusus di sebelah Iraq, sedangkan ia bukan sedemikian, bahkan setiap (tempat) yang tinggi berbanding sekelilingnya, (maka) dinamakan yang tinggi itu najd manakala yang rendah pula ghaur" [Ibid]
MAKSUD NAJD BERDASARKAN FAKTA SEJARAH
Dalam hadith berkenaan, Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam telah menggambarkan negeri Najd sebagai tempat yang banyak berlaku gempa bumi dan fitnah. Realiti sejarah telah membuktikan bahawa tempat yang banyak berlaku gempa bumi ialah kawasan sekitar negeri Iraq dan Iran.
Begitu juga dengan fitnah yang berlaku di kalangan umat Islam, bermula dari zaman Sahabat sehinga ke hari ini, kebanyakannya berpunca di Iraq. Gerakan bughah (penentang khalifah), Khawarij dan Syiah pada zaman Khalifah ' Uthman dan ' Ali radhiallahu 'anhuma yang menjadi punca tercetusnya fitnah perselisihaan di kalangan umat Islam bermula di Kufah. Begitu juga Perang Jamal, Siffin, Nahrawan, fitnah pembunuhan Husain cucunda Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, fitnah Mukhtar Ath-Thaqafi yang mendakwa kenabian dan serangan tentera Tartar pada zaman kerajaan Bani Abbasiyyah, semuanya berlaku di Iraq.
Dalam konteks sejarah perkembangan hadith, Kufah terkenal sebagai pusat penyebaran hadith palsu sehingga para perawi yang pergi dan datang dari sana di 'kuarantinkan' riwayat mereka oleh para ulama sebagai langkah berwaspada.
Manakala dalam konteks sejarah moden pula, dapat disaksikan bagaimana dahsyatnya peperangan antara Iraq dan Iran, diikuti oleh krisis perang Teluk pada tahun 1992 dan seterusnya penaklukan oleh Amerika yang berterusan hingga ke hari ini. Ini berlanjutan dengan peristiwa pembunuhan dan pengeboman di Iraq yang berlaku saban hari dan ketika, manakala kesan dari segala fitnah itu pula dirasai dan diratapi oleh umat Islam di seluruh dunia.
Semua fenomena yang berlaku di Iraq sejak dari dahulu sampai sekarang adalah suatu fitnah yang benar-benar menepati apa yang digambarkan oleh Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam dalam sabdanya itu. Bahkan banyak riwayat hadith sahih yang menunjukkan bahawa kemunculan Dajjal di akhir zaman juga berlaku di sebelah Iraq, iaitu di kawasan Asbahan dan Khurasan yang sekarang ini termasuk dalam sempadan negara Iran. [Rujuk: Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar? Dr. Azwira Abdul Aziz, ms 139-140 ]
Dari sudut geografi pula, kawasan Najd yang meliputi daerah Hijaz dan Al-Yamamah (tempat lahir Muhammad Ibn ' Abd Al-Wahhab) secara tepatnya terletak di sebelah Timur Makkah, dan bukannya di sebelah Timur Madinah. Justeru oleh kerana Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam telah mengisyaratkan bahawa fitnah itu datang dari sebelah Timur Madinah, maka ia sudah tentu bermaksud negeri Iraq kerana ia sememangnya terletak pada arah yang berkenaan. Dengan mengambil kira tafsiran daripada keseluruhan riwayat hadith, penjelasan para ulama, asal usul bahasa, geografi dan realiti sejarah, maka sahlah bahawa perkataan Najd yang dimaksudkan oleh Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam dalam hadith itu ialah negeri Iraq dan kawasan persekitarannya yang turut merangkumi negeri Iran pada masa kini. [Ibid, ms 140-141 ]
MAKSUD NAJD DARI SUDUT UMUM ATAU KHUSUS
Walaupun hadis menunjukkan kedudukan negara Iraq sebagai tempat yang banyak menimbulkan fitnah termasuk Iran, namun ia sebenarnya tidak menggambarkan kejahatan tempat tersebut secara umum. Ini kerana penentuan sesuatu tempat sebagai punca fitnah bukan bererti kecaman tempat tersebut secara mutlak. Akan tetapi ia bermaksud kecaman pada suasana yang berlaku di tempat itu pada suatu masa yang tertentu.
Sesuatu tempat yang dianggap sebagai tidak baik tidak semestinya menggambarkan kejahatan seluruh penduduknya sepanjang masa, sebagaimana sesuatu tempat yang dianggap sebagai baik juga tidak semestinya menggambarkan kebaikan seluruh penduduknya sepanjang masa.
Justeru di samping fitnah yang banyak berlaku, negeri Iraq juga melahirkan ramai tokoh ulama Islam yang terbilang, bahkan Kota Baghdad pernah menjadi pusat pemerintahan dan perkembangan ilmu yang terbesar dalam sejarah tamadun manusia.
Demikian juga di samping kebaikan yang ada pada negeri Yaman, Syam, Makkah dan Madinah, fitnah masih tetap berlaku di negeri-negeri berkenaan pada masa-masa yang tertentu. Sebagai contoh, dari negeri Yaman puak Yahudi datang ke Madinah, dari negeri Yaman juga tentera bergajah Abrahah datang menyerang Makkah dan di negeri Yaman juga muncul Al-Aswad Al-' Anasi sebagai nabi palsu. Di negeri Syam pula muncul Luqait Al-Azdi sebagai nabi palsu dan di situlah tempatnya medan pertumpahan darah antara umat Islam, Yahudi dan Kristian kerana perebutan tempat suci. Negeri Makkah dan Madinah juga menyaksikan pertumpahan darah kerana menegakkan kalimah tauhid pada zaman Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, bahkan ketika Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam meninjau-ninjau di atas sebuah tembok Kota Madinah Baginda bersabda:
إني لأرى الفتن تقع من خلال بيوتكم كوقع المطر
Maksudnya: "Sesungguhnya aku melihat fitnah menimpa rumah- rumah kamu seperti titisan air hujan" [Hadis riwayat Bukhari, no: 6651]
Semua ini menggambarkan betapa kesucian sesuatu tempat bukan jaminan bagi terhindarnya fitnah. Demikian juga dengan kawasan-kawasan yang tidak disebut oleh Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam sebagai lokasi fitnah, seperti Amerika, Eropah, Afrika dan Asia Tenggara, bukanlah bermakna ia bebas daripada fitnah. Bahkan fitnah yang berlaku di India misalnya mungkin lebih banyak daripada yang berlaku di Iraq itu sendiri.
Kesimpulan lain yang dapat juga diambil daripada perbincangan ini adalah, jika diandaikan perkataan Najd yang dimaksudkan oleh Nabi merujuk kepada negara Arab Saudi yang meliputi daerah Hijaz dan Al- Yamamah (yakni tempat lahir Muhammad Ibn ' Abd Al-Wahhab), maka yang demikian itu langsung tidak menggambarkan kecaman terhadap individu tertentu yang tinggal di sana. [Rujuk: Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar? Dr. Azwira Abdul Aziz, ms 141-143 ]
MAKSUD "TANDUK SYAITAN"
Al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah menjelaskan maksud ungkapan tanduk syaitan itu dalam Fathul Bari (13 / 46-47) ialah seperti berikut:
1) Sebagai kiasan bagi menggambarkan kekuatan Syaitan dan apa saja yang memohon pertolongan kepadanya (Syaitan) dalam penyesatan (manusia).
2) Bahawa Syaitan menyelaraskan tanduknya dengan (arah) Matahari ketika terbitnya, supaya penyembahan golongan penyembah Matahari akan terarah kepadanya.
3) Bahawa bagi Matahari itu ada Syaitan yang mana ia terbit antara dua tanduknya.
4) Bahawa pada hari itu penduduk sebelah timur Madinah terdiri daripada golongan kafir, manakala fitnah yang pertama (fitnah pembunuhan ' Uthman radhiallahu 'anhum) datangnya dari sebelah Timur, dan ia menjadi sebab berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam, sedangkan perpecahan itu disukai dan digembirai oleh Syaitan.
Demikianlah JAWAPAN: NAJD SEBAGAI TEMPAT TIMBULNYA FITNAH DAN FITNAH DARI TIMUR menjawap tulisan bertajuk "Hadis no 1 : Nadj Sebagai Tempat Timbulnya Fitnah dan "Hadis no 2: Fitnah Dari Timur" yang ditulis dalam blog
al-ashairah.blogspot.com , pemilik blog berkata: "Antara Riyadh, Iraq dan Iran, manakah satu arah timur Madinah? Tanyalah diri sindiri" Maka saya pula mengatakan tanyalah diri sendiri berdasarkan ilmu, bukan hawa nafsu. Wallahua'lam..